NUGERAH Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang berlangsung 30 Mac lalu di Arena Of Stars, Genting Highlands terus unggul apabila berjaya mencatat 4.5 juta penonton untuk program yang bersiaran selama dua jam setengah itu.
Angka itu mewakili 63.5 peratus daripada keseluruhan penonton siaran televisyen yang ke udara ketika itu. Angka itu juga sekali gus mengatasi jumlah penonton tahun lalu iaitu seramai 4.41 juta orang.
Kejayaan ini sekali gus menjadikan ABPBH yang kini memasuki edisi ke-21 penganjurannya menjadi antara program hiburan yang mencatatkan kadar penonton tertinggi untuk setengah tahun pertama 2008. Kejayaan itu juga sekali gus membuktikan bahawa ABPBH menjadi acara hiburan paling dinantikan dalam kalendar hiburan tanah air.
Gandingan mantap pengacara iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Raja Azura serta persembahan daripada artis jemputan dan pengisian yang menarik berjaya menarik penonton untuk terus menonton program itu yang disiarkan secara langsung menerusi TV3.
Selain penonton yang menyokong kejayaan ABPBH, tajaan penaja utama iaitu Habib Jewels Sdn Bhd yang meningkatkan nilai tajaan sebanyak RM 2.5 juta tahun ini dan dua buah kereta Peugeot tajaan Nasim Sdn Bhd juga menjadi salah satu faktor kepada kejayaan anugerah ini.
ABPBH 2007 menyaksikan sebanyak 16 kategori dipertandingkan. Bintang Akademi Fantasia, Asmawi Ani atau Mawi sekali lagi mempertahankan gelaran Bintang Paling Popular untuk tiga tahun berturut-turut mengetepikan saingan kelompok empat artis yang mendapat undian tertinggi iaitu Faizal Tahir, Datuk Siti Nurhaliza, Saiful Apek dan Aznil Nawawi.
Berikutan kemenangan itu, Mawi membawa pulang kereta Peugeot 407 (2.0) bernilai RM185,000 tajaan Nasim Sdn Bhd serta set barang kemas eksklusif Habib bernilai RM150,000 selain trofi.
Mawi turut dipilih memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular juga untuk tiga kali berturut-turut menewaskan Faizal Tahir, Anuar Zain, Hazami dan Adam.
Turut berjaya membawa pulang trofi pada malam itu ialah Siti Nurhaliza bagi kategori Penyanyi Wanita Popular, Rosyam Nor (Pelakon TV Lelaki Popular), Saiful Apek (Artis Komedi Lelaki Popular).
Sheila Rusly sekali lagi mempertahankan anugerah kategori Artis Komedi Wanita Popular. Faizal Ismail dan Fara Fauzana daripada radio Hot FM pula mengungguli gelaran Penyampai Radio Lelaki dan Wanita Popular.
Dynas pula merampas gelaran Pelakon TV Wanita Popular daripada Fasha Sandha yang hanya mampu mempertahankan gelaran Pelakon Filem Wanita Popular. Rusdi Ramli pula menang buat pertama kali kategori Pelakon Filem Lelaki Popular. Aznil juga terus mengekalkan gelaran Pengacara TV Lelaki Popular. Rabbani (Penyanyi Nasyid Popular) dan Sofaz untuk Artis Berkumpulan/ Duo Popular.
Kamis, 10 April 2008
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar